Ikutilah kami:
 JimatCermat.my

Cukai & Pendapatan

Apa itu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

Anda bekerja di sektor swasta? Anda sebenarnya harus membuka dan menyumbang sebahagian daripada gaji anda ke tabungan KWSP untuk simpanan hari pencen anda kelak! Apa itu KWSP dan bolehkan tabungan ini menjadi sumber kewangan yang cukup untuk hari tua anda nanti? Ketahui semua yang berkenaan dengan KWSP di sini! Kami juga menyediakan kalkulator untuk pengiraan KWSP anda. Cukupkah wang persaraan anda nanti?

Nota : Artikel ini berlainan dengan Skim Persaraan Swasta (PRS) yang dilancarkan baru-baru ini. Untuk mengetahui tentang PRS, rujuklah artikel PRS kami!

Apa itu KWSP? 

KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan untuk pekerja-pekerja swasta melalui pengurusan simpanan mereka. KWSP juga mempunyai peranan untuk memastikan para majikan memenuhi tanggungjawab undang-undang serta kewajipan moral mereka untuk menyumbang kepada KWSP bagi pihak pekerja mereka.

Institusi ini berlainan dengan skim pencen JPA yang ditubuhkan untuk pekerja – pekerja di sektor kerajaan. Perbezaan utama di antara kedua skim ini ialah jumlah tabungan KWSP tidak sama untuk setiap pekerja dan berbeza mengikut jumlah sumbangan pekerja (dan majikan) dan dividen yang diperolehi. Pencen kerajaan pula memberi jumlah yang tetap dan sama mengikut sektor dan pengurusan JPA.

Tanggungjawab Majikan / Pekerja

Untuk setiap pekerja baru yang mendapat pekerjaan pertamanya, majikan mempunyai tanggungjawab untuk mendaftarkan tabungan KWSP pekerja itu. Untuk mendaftar, majikan perlu mengisi borang KWSP 3 (untuk cara medaftar, sila click di sini) yang dilengkapi bersama maklumat peribadi dan tandatangan pekerja yang terbabit.

Anda baru mendapat kerja? Majikan anda harus mendaftarkan nama anda kepada KWSP secepat mungkin supaya sumbangan KWSP dapat dilakukan pada masa yang ditetapkan! Sebagai contoh, jika anda bermula pada 1 Januari, pendafataran KWSP harus dibuat pada awal bulan supaya sumbangan KWSP yang pertama boleh dibuat (ditolak daripada gaji) sebelum 15 Februari.

Setiap pekerja swasta perlu membuat pendaftaran KWSP sekali sahaja, jadi setiap pekerja hanya perlu memberi maklumat KWSP kepada majikan baru tanpa perlu mendaftar berkali-kali.

Sumbangan / Caruman KWSP : Jenis upah dan bayaran 

Sebenarnya, kesemua jenis upah/penggajian/bayaran yang diterima harus diambil kira dalam caruman bulanan KWSP. Jenis-jenis penggajian ini termasuklah :

  • Gaji
  • Bayaran bagi cuti rehat tahunan dan cuti sakit yang tidak digunakan
  • Bonus
  • Elaun
  • Komisen
  • Insentif
  • Tunggakan upah
  • Upah bagi cuti bersalin
  • Upah bagi cuti belajar
  • Upah bagi cuti separuh gaji
  • Bayaran-bayaran lain di bawah kontrak perkhidmatan atau sebaliknya.

Antara bayaran yang dikecualikan caruman KWSP adalah:

  • Caj perkhidmatan
  • Bayaran kerja lebih masa
  • Ganjaran
  • Faedah persaraan
  • Faedah pengurangan pekerja, pemberhentian sementara atau penamatan
  • Mana-mana elaun perjalanan atau nilai mana-mana konsesi perjalanan
  • Bayaran sebagai ganti notis penamatan perkhidmatan
  • Yuran (bukan gaji atau upah) Pengarah

Kadar Caruman / Sumbangan Yang Perlu Dibuat

Pekerja berumur di bawah 55 tahun

Untuk pekerja yang berumur di bawah 55 tahun dan menerima gaji kurang daripada RM5,000, kadar sumbangan yang harus dibuat ialah sebanyak 11% daripada gaji bulanan dan 13% daripada majikan. Untuk pekerja yang mempunyai gaji lebih daripada RM5,000, kadar sumbangan ialah sebanyak 11% dan majikan harus menyumbang sebanyak 12%.

Pekerja berumur di antara 55 hingga 75 tahun

Untuk pekerja yang mempunyai gaji kurang daripada RM5,000, kadar sumbangan majikan ialah sebanyak  6.5% (menigkat daripada 0.5%). Untuk pekerja yang menerima gaji lebih daripada RM5,000, kadar sumbangan majikan ialah sebanyak 6%.

Mencarum / Menyumbang Melebihi Kadar yang Perlu

Bagaimana jika anda atau majikan ingin menyumbang lebih daripada kadar yang diharuskan (11% untuk pekerja dan 12% / 13% untuk majikan)? Anda hanya perlu memberi notis kepada pihak KWSP tentang kadar sumbangan baru anda :

  • Jika anda sahaja ingin mencarum melebihi kadar berkanun, anda boleh mengemukakan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun melalui Borang KWSP 17A (AHL).
  • Jika majikan anda sahaja ingin mencarum melebihi kadar berkanun, majikan anda boleh mengemukakan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun melalui Borang KWSP 17 (Maj).
  • Jika anda dan majikan ingin mencarum melebihi kadar berkanun, anda dan majikan boleh mengemukakan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun melalui Borang KWSP 17A (AHL) dan  Borang  KWSP 17 (Maj).

Ingat! Kadar ini akan menjadi kadar berkanun yang baru dan kekal sehingga anda dan/atau majikan mengemukakan notis pembatalan melalui Borang KWSP 18A (AHL) dan KWSP 18 (Maj). Selepas notis pembatalan, kadar caruman / sumbangan akan bertukar kepada 11% (daripada potongan gaji) semula.

Bagaimana Sumbangan / Caruman Anda Dibayar?

Untuk mengelakkan penipuan, majikan anda diwajibkan untuk mencarum sebahagian daripada gaji anda serta caruman bahagian majikan kepada KWSP mengikut kadar yang telah ditetapkan di bawah Akta KWSP 1991. Caruman ini perlu dibayar kepada KWSP pada setiap bulan.

Bagi tujuan ini, majikan anda perlu memotong sebahagian daripada gaji anda sebelum gaji tersebut dibayar kepada anda. Potongan gaji anda bersama dengan caruman bahagian majikan perlu dihantar ke KWSP tidak lewat daripada 15 haribulan pada bulan berikutnya. Sekiranya majikan anda menghantar caruman berkenaan lewat daripada tarikh yang dinyatakan di atas, majikan anda akan dikenakan denda oleh KWSP

Adalah menjadi kesalahan di bawah Akta KWSP jika majikan anda tidak memotong gaji anda dan tidak mencarum potongan gaji anda kepada KWSP setelah membuat potongan terhadap gaji anda.

Sebagai contoh, jika anda gaji kasar anda sebanyak RM2,000 sebulan :

Gaji bersih : RM1,780 (100% – 11% = 89% daripada gaji kasar)
Caruman pekerja : RM220 (11% daripada gaji kasar)
Caruman majikan : RM260(13% daripada gaji kasar)

Jumlah caruman KWSP yang perlu dibuat oleh majikan : (RM220 + RM 260) = RM480

Faedah untuk Ahli KWSP

Dividen

Sumbangan KWSP anda akan terkumpul dan ditambah dengan dividen pada setiap tahun. Ini akan menjadikan simpanan anda meningkat dari tahun ke tahun sehingga persaraan anda dan pengeluaran keseluruhan simpanan anda.Pihak KWSP menjamin sekurang-kurangnya 2.5% dividen akan diberikan kepada ahli pada setiap tahun.

Insentif Cukai

Bahagian caruman atau sumbangan KWSP anda akan mendapat pelepasan cukai sehingga RM6,000 (termasuk premium insuran nyawa). Selain daripada itu, pengeluaran simpanan KWSP anda di bawah pelbagai skim pengeluaran juga terkecuali daripada dikenakan cukai pendapatan. Untuk keterangan lanjut tentang insentif cukai ini, sila rujuk artikel “ Panduan Cukai Pendapatan 2012 “ atau Income Tax Calculator kami!

Faedah Persaraan

Simpanan KWSP adalah simpanan untuk persaraan anda. Apabila anda mencarum 11% daripada pendapatan bulanan anda dengan KWSP, majikan anda akan mencarum (sekurang-kurangnya)12% lagi ke dalam simpanan KWSP anda. Jika anda tidak mencarum, anda tidak akan mendapat faedah persaraan tambahan yang disediakan oleh majikan anda itu.

Faedah Kematian Dan Hilang Upaya

Sebagai sebuah organisasi yang menjaga kepentingan ahli-ahlinya setelah mereka bersara, KWSP turut memberi pampasan sekiranya ahli-ahlinya ditimpa bencana. Dalam hal ini, KWSP menyediakan Faedah Hilang Keupayaan kepada ahli dan Faedah Kematian kepada waris ahli.

Akaun I dan akaun II

Akaun KWSP adalah akaun di mana segala caruman dan sumbangan anda serta majikan anda disimpan. Berkuatkuasa dari 1 Januari 2007, akaun ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Akaun I dan Akaun II. Caruman yang diterima bagi pihak anda daripada majikan anda akan dikredit ke dalam kedua-dua akaun tersebut berdasarkan peratusan yang berikut:

  • Akaun I   - 70% daripada caruman bulanan;
  • Akaun II  - 30% daripada caruman bulanan.

Akaun-akaun ini diwujudkan untuk perbagai tujuan, dan terdapat beberapa jenis pengeluaran yang berkaitan dengan setiap akaun:

Akaun I

Simpanan di dalam akaun ini bertujuan untuk kegunaan selepas persaraan dan pelaburan anda sahaja, dan tidak boleh dikeluarkan sepenuhnya sebelum anda mencecah usia 55 tahun, hilang upaya, meninggalkan negara atau meninggal dunia (pembayaran akan dibuat kepada penama / waris).

Apabila umur anda mencecah 55 tahun, anda boleh memilih untuk mengeluarkan kesemua simpanan anda (termasuk simpanan dalam akaun II) sekaligus, atau dalam amaun melebihi RM2,000, atau dengan menggunakan skim pengeluaran bulanan secara ansuran.

Anda dibenarkan untuk melabur sebahagian daripada simpanan di akaun I di atas kerelaan sendiri. Bahagian ini adalah 20% daripada jumlah perbezaan di antara tabungan di dalam akaun I dan nilai Tahap Simpanan Asas yang ditetapkan. Untuk senarai Tahap Simpanan Asas yang lain, click di sini.

Tahap Simpanan Asas & Jumlah Pengeluaran Pelaburan

Sebagai contoh, Tahap Simpana Asas untuk seseorang yang berumur 30 tahun ialah sebanyak RM18,000. Ini bermaksud, anda boleh mengeluarkan 20% daripada perbezaan di antara simpanan di dalam akaun I dan RM18,000. Jika anda mempunyai RM50,000 di dalam akaun I, jumlah yang boleh dikeluarkan akan menjadi RM6,4000 (20% x [RM50,000 – RM18,000]). Semua pelaburan yang dibuat hendaklah melalui Institut Pengurusan Dana atau IPD yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Untuk mendapatkan senarai terkini IPD yang diluluskan, sila rujuk Senarai Institusi Pengurusan Dana terkini.

Akaun II

Simpanan di dalam akaun ini bertujuan untuk membantu anda membuat persediaan bagi persaraan yang selesa. Pengeluaran dibenarkan bagi tujuan:

  • mencecah umur 50 tahun;
  • pembayaran pendahuluan pembelian rumah pertama;
  • penyelesaian baki pinjaman perumahan – rumah pertama;
  • pembiayaan pendidikan anda dan anak-anak anda;
  • menampung kos perubatan bagi anda dan anak-anak anda

Peruntukan Pelaburan

Caruman ataupun sumbangan bulanan anda dilaburkan ke dalam beberapa instrumen kewangan untuk mendapat pulangan kewangan yang lumayan. Antara instrument kewangan yang dimaksudkan ialah:

  • Pinjaman, Debentur dan Bon-Bon
  • Saham-saham
  • Pasaran Wang
  • Hartanah

Semak Simpanan KWSP Anda

Anda boleh menyemak simpanan KWSP anda di kiosk-kiosk KWSP atau di cawangan KWSP seluruh Malaysia.

Anda juga boleh menyemak secara online di website KWSP. Untuk mengaktifkan akaun website, anda perlu mandapatkan kod KWSP di cawangan atau kiosk KWSP berdekatan dahulu!

 

 

Comments

Tagged ,

Tell your friends!

DARTH SAVER PERLUKAN MAKANAN
+1 kami di Google+