Ikutilah kami:
 JimatCermat.my

Insurans & Persaraan

PERKESO-Skim Insurans Bencana Pekerjaan

Pernahkan anda terfikir apa yang terjadi kepada caruman PERKESO bulanan anda? Dengan panduan ini, anda akan mengetahui apa itu PERKESO dan bagaimana caruman anda boleh memberi perlindungan insurans yang mencukupi (atau tidak!)

Apa itu PERKESO / SOCSO?

Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO (Social Security Organization atau SOCSO) ditubuhkan pada tahun 1971 di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk melaksana, mentadbir, dan memberi perlindungan insurans yang berkaitan dengan bencana pekerjaan termasuk kemalangan semasa menjalankan pekerjaan (penyakit khidmat), keilatan dan kematian.

Di antara fungsi yang dilaksanakan oleh PERKESO ialah mendaftar majikan dan pekerja, mengutip caruman majikan dan pekerja, memproses tuntutan dan bayaran manfaat kepada pekerja yang ditimpa kemalangan serta ahli tanggungannya.

Apakah Jenis Perlindungan Pekerja yang diberi PERKESO?

PERKEMBANGAN TERKINI : PEMERIKSAAN KESIHATAN PERCUMA UNTUK AHLI PERKESO SEPERTI YANG DIUMUMKAN DI DALAM BAJET 2013, MAKLUMAT PENUH DI SINI.

PERKESO melindungi pekerja melalui dua skim utama:

Skim Insurans Bencana Pekerjaan

Skim Insurans Bencana Pekerjaan ini memberi perlindungan kepada para pekerja daripada kemalangan atau kesakitan yang disebabkan oleh pekerjaan atau yang dialami semasa bekerja. Perlindungan ini melingkupi kemalangan yang berlaku ketika dalam perjalanan dan waktu kecemasan dan kecacatan serta kesakitan yang dialami di tempat kerja (contoh : hilang pendengaran akibat pendedahan bunyi yang berlarutan). Sekiranya berlaku kemalangan-kemalangan sebegini, PERKESO akan menyediakan manfaat perubatan, elaun layanan sentiasa, manfaat pemulihan, manfaat hilang upaya kekal, manfaat orang tanggungan, manfaat pengurusan dan pengebumian mayat dan manfaat pendidikan kepada pekerja tersebut.

Skim Pencen Ilat

Skim Pencen Ilat ini memberi perlindungan kepada para pekerja yang mengalami keilatan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan, sama ada kekal, tidak kekal, atau mempunyai peluang baik semula yang tipis dan mengakibatkan seseorang pekerja itu tidak mampu mencari nafkah sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan seseorang pekerja yang normal. Manfaat yang diberikan di bawah skim ilat ini termasuk : Pencen, bantuan, elaun layanan sentiasa, pencen PENAKAT, manfaat pemulihan, dan manfaat pendidikan.

Jenis Upah yang harus Dikenakan Caruman PERKESO

Kesemua jenis upah (berupa wang ringgit) yang diberikan kepada para pekerja harus dikenakan caruman PERKESO. Jenis upah ini termasuklah :

  • Gaji pokok
  • Bayaran kerja lebih masa
  • Komisen
  • Bayaran untuk cuti berbayar seperti cuti tahunan, cuti bersalin, cuti rehat, cuti umum
  • Elaun seperti insentif tehadap prestasi kerja, kelakuan baik, Bantuan Sara Hidup
  • Caj untuk servis (servis charges)

Jenis upah yang tidak perlu dikenakan caruman PERKESO :

  • Pembayaran oleh majikan kepada tabung kumpulan wang pencen atau kumpulan wang simpanan
  • Pembayaran ke atas tuntutan perjalanan
  • Pembayaran ke atas persaraan atau pemberhentian pekerja
  • Bonus tahunan

Jenis Dan Kategori Caruman

Jenis Pertama (Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat)

Skim ini memberi perlindungan kepada pekerja yang berumur kurang daripada 55 tahun. Caruman dibuat oleh kedua-dua majikan dan pekerja.

Jenis Kedua (Skim Bencana Pekerjaan Sahaja)

• Untuk pekerja yang berumur lebih daripada 55 tahun dan masih bekerja;
• Untuk pekerja yang berumur lebih daripada 50 tahun ketika mula-mula mendaftar dan mencarum dengan PERKESO;
• Orang Berinsurans yang menerima pencen ilat yang masih bekerja dan mendapat kurang daripada 1/3 gaji bulanan purata sebelum mengidap keilatan. Di bawah jenis ini caruman dibayar oleh majikan sahaja untuk perlindungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

Kadar Caruman

Untuk mendapat perlindungan di bawah kedua-dua Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat, majikan harus mencarum sekurang-kurangnya 1.75% (caruman maksima ialah RM51.65 sebulan), manakala para pekerja pula harus membuat caruman sebanyak 0.5% (Caruman maksima RM14.75 sebulan). Untuk pengetahuan anda, majikan dan pekerja harus membayar kadar caruman maksima masing-masing apabaila gaji bulanan melebihi RM2,900.

Untuk mendapat perlindungan di bawah Skim Pencen Ilat sahaja, hanya majikan sahaja yang perlu membuat caruman sebanyak 1.25% (kadar maksima RM36.90 sebulan), dengan tiada potongan daripada pekerja. Untuk kemudahan pengiraan, kadar caruman yang harus dibuat adalah dianggarkan sebanyak 2.25% dan 1.25% (seperti yang tertera di atas). Untuk mengetahui kadar caruman yang tetap dan mengikut tahap gaji anda, sila rujuk jadual ini.

Skim Insurans Bencana Pekerjaan

Manfaat Perubatan

Para pekerja yang mengalami kemalangan atau menghidap suatu penyakit yang terbabit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaanya berhak mendapat rawatan percuma di klinik / hospital kerajaan  panel PERKESO.

Cara Tuntutan

Untuk memohon dan mendapat manfaat perubatan buat kali pertama, anda harus mengisi dan menyerahkahkan dokumen-dokumen di bawah ke klinik panel PERKESO pilihan anda:

  • Borang 21 (Laporan Kemalangan);
  • Borang PKS(P)68 (Laporan Penyakit Khidmat) atau PKS(P)69 (Notis Penyakit Khidmat);
  • Surat Pengenalan daripada majikan; dan
  • Borang 10 (Borang Tuntutan).

Bagi rawatan daripada klinik selain daripada panel PERKESO, majikan atau pekerja boleh mengemukakan permohonan Bayaran Ganti Belanja di mana-mana cawangan PERKESO untuk mendapat bayaran ganti belanja. Akan tetapi, bayaran ini tertakluk kepada kadar yang telah ditetapkan oleh PERKESO.

Untuk memohon dan seterusnya mendapat tuntutan Bayaran Ganti Belanja, dokumen-dokumen berikut yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada pegawai PERKESO:-

  • Borang PKS (P) 24 (Borang Bayaran Ganti Belanja (Rawatan Perubatan));
  • Borang PKS (P) 26 (Borang Bayaran Ganti Belanja (Am));
  • Resit asal;
  • Salinan Kad Rawatan (Appointment Card); dan
  • Salinan Laporan Perubatan (jika ada)

Manfaat Hilang Upaya Sementara

Pembayaran manfaat hilang upaya sementara ini bergantung kepada jumlah hari cuti sakit pekerja (tidak berupaya untuk bekerja) yang disahkan oleh doktor. Untuk mendapat pembayaran, jumlah hari tidak berupaya bekerja mestilah sekurang-kurangnya empat (4) hari termasuk hari kemalangan dan manfaat akan diberikan sepanjang tempoh cuti sakit pekerja.

Bagaimanapun, manfaat tidak akan dibayar pada hari di mana pekerja bekerja dan dibayar gaji dalam tempoh cuti sakit tersebut. Kadar manfaat harian yang dibayar adalah sebanyak 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Manfaat ini juga tertakluk kepada kadar minima RM10.00 sehari (untuk pekerja bergaji kurang daripada RM10.00 sehari); dan kadar maksima RM78.67 sehari (untuk pekerja bergaji melebihi RM2,900.00 sebulan bagi tempoh 6 bulan sebelum kemalangan).

Tempoh Lapor Kemalangan

Majikan hendaklah melaporkan kemalangan dalam tempoh 48 jam, walau bagaimanapun laporan yang diterima melebihi dua belas (12) bulan tertakluk kepada pertimbangan Pertubuhan.

Cara Tuntutan

Tuntutan boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen-dokumen berikut:-

• Borang 21 (Laporan Kemalangan);
• Borang 10 (Borang Tuntutan);
• Perakuan Doktor (Borang 13) atau Sijil Cuti Sakit asal;
• Salinan Kad Pengenalan;
• Rekod Kedatangan/Kad Perakam Waktu/Pengesahan Majikan; dan
• Borang PKS (F) 1 (Kenyataan Butir-Butir Gaji/Caruman).

Bagi kemalangan semasa dalam perjalanan, sila sertakan dokumen tambahan berikut:

• Laporan Polis; dan
• Peta lakar tempat kejadian.

Bagi tuntutan Penyakit Khidmat, tuntutan boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen berikut:-

• Borang PKS(P)68 (sekiranya pekerja masih bekerja);
• Borang PKS(P)69 (sekiranya pekerja telah berhenti kerja);
• Sijil Cuti Sakit asal (jika ada); dan
• Borang 10 (jika ada cuti sakit).

Hilang Upaya Kekal

Hilang upaya kekal di sini bermaksud apabila pekerja mengalami kehilangan upaya yang tidak boleh dipulihvdan menyukarkan pekerja untuk mencari nafkah dalam apa-apa pekerjaan lain. Pekerja yang mempunyai insurans yang telah tamat tempoh cuti sakit dan mengalami hilang upaya kekal juga boleh membuat tuntutan ini.

Tempoh Tuntutan : Had masa adalah dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perakuan akhir sijil cuti sakit.

Kadar Faedah Harian Yang Akan Dibayar : Kadar harian adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja dan tertakluk kepada :

• Minimum RM10.00 sehari (untuk pekerja bergaji kurang daripada RM10.00 sehari); dan
• Maksimum RM78.67 sehari (untuk pekerja bergaji melebihi RM2,900.00 sebulan bagi tempoh 6 bulan sebelum kemalangan).

Cara Tuntutan

Pekerja yang di bawah perlindungan insurans harus membuat permohonan bertulis kepada Pejabat PERKESO yang berkenaan dan untuk dirujuk kepada Jemaah Doktor sila lampirkan sekali dokumen-dokumen berikut:

  • Borang Permohonan;
  • Salinan Kad Pengenalan;
  • Laporan Perubatan (dari hospital/klinik yang memberi rawatan);
  • Borang 10 (Borang Tuntutan);
  • Borang PKS (F) 1 (Kenyataan Butir-Butir Gaji/Caruman); dan
  • Nombor dan salinan buku akaun bank untuk pembayaran terus ke akaun simpanan.

Cara Pembayaran Faedah  : Setiap kes yang diterima akan dirujuk ke Jemaah Doktor untuk jumlah taksiran hilang upaya.Sekiranya hilang upaya kekal itu ditaksirkan tidak melebihi 20%, bayaran akan dibuat secara berkala. Walaubagaimanapun, pekerja boleh memohon supaya manfaat dibayar secara pukal atau sekaligus.

Sekiranya taksiran hilang upaya kekal itu melebihi 20%, bayaran dibuat secara berkala. Bagaimanapun, pekerja boleh memohon supaya bayaran 1/5 daripada kadar harian manfaat tersebut dibayar secara pukal dan baki kadar harian faedah tersebut dibayar secara berkala atau sebagai pencen bulanan untuk tempoh sepanjang hayat.

Sekiranya pekerja berinsurans atau PERKESO tidak berpuas hati di atas taksiran tersebut, permohonan rayuan ke Jemaah Doktor Rayuan hendaklah dibuat dalam tempoh 90 hari daripada tarikh keputusan Jemaah Doktor disampaikan kepada pekerja.

 

Elaun Layanan Sentiasa

Pekerja yang menerima taksiran hilang upaya kekal sebanyak 100% layak disyorkan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan untuk menerima Elaun Layanan Sentiasa. Elaun ini diberikan kepada penjaga yang menjaga pekerja. Kadar elaun ini ialah 40% daripada kadar faedah hilang upaya langsung yang kekal dan tertakluk kepada bayaran maksimum sebanyak RM500 sebulan.

Manfaat Pemulihan

Kemudahan bagi pemulihan jasmani dan vokasional diberikan oleh PERKESO kepada pekerja yang menerima manfaat hilang upaya kekal. Segala perbelanjaan akan ditanggung oleh PERKESO dan pemulihan jasmani yang boleh dilakukakn adalah seperti berikut :

  • Fisioterapi;
  • Terapi pekerjaan;
  • Pembedahan rekonstruktif;
  • Bekalan anggota tiruan seperti kaki / tangan / gigi dan mata palsu; dan
  • Bekalan otopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kaliper dan kasut;

Pemulihan vokasional termasuk latihan vokasional dalam bidang kursus seperti pendawaian elektrik, jahitan, membaiki radio/TV, menaip, kesetiausahaan dan lain-lain juga boeh didapati di bawah manfaat ini.

Manfaat Ahli Tanggungan

Sekiranya pekerja meninggal dunia akibat bencana sewaktu bekerja, kesemua ahli tanggungan pekerja berhak menerima faedah ini. Kadar faedah harian yang akan dibayar adalah sebanyak 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja dan tertakluk kepada :

• Minimum RM10.00 sehari (untuk pekerja bergaji kurang daripada RM10.00 sehari); dan
• Maksimum RM78.67 sehari (untuk pekerja bergaji melebihi RM2,900.00 sebulan bagi tempoh 6 bulan sebelum kemalangan).

Cara Tuntutan

Jika pekerja meninggalkan balu, duda atau anak, ahli tanggungan tersebut hendaklah menyerahkan:-

  • Borang Permohonan (Borang 24);
  • Permit Pengebumian/Sijil Kematian Pekerja
  • Sijil Kelahiran bagi anak berumur di bawah 21 tahun
  • Sijil Daftar Perkahwinan/Sijil Nikah
  • Kad Pengenalan balu/ duda atau penjaga(mana berkenaan)
  • Nombor dan salinan buku akaun bank pemohon.

Jika pekerja tiada balu, duda atau anak yang layak, ahli tanggungan atau pemohon lain hendaklah menyerahkan:

  • Borang Permohonan (Borang 24)
  • Permit Pengebumian/Sijil Kematian Pekerja
  • Sijil Kelahiran pekerja yang meninggal dunia
  • Sijil Kelahiran kesemua adik-beradik (jika berkenaan)
  • Kad Pengenalan ibu/bapa atau penjaga atau nenek (jika berkenaan)
  • Nombor dan salinan buku akaun bank pemohon.

*Sila bawa bersama salinan asal untuk pengesahan PERKESO

Pembahagian Faedah

90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja akan dibahagikan kepada balu, atau duda, dan waris pekerja mengikut kepentingan dan pembahagian berikut :

  • Balu atau Duda – 3/5 – Terima faedah seumur hidup meskipun balu atau duda berkahwin semula mulai atau selepas 1 Mei 2005
  • Anak (Sebelum umur 21 tahun atau berkahwin) – 2/5 – Semua anak yang memenuhi syarat layak mendapat faedah termasuk anak kandung, anak tiri yang disara, anak angkat atau anak luar nikah.

Jika Orang Berinsurans meninggal dunia dan tidak meninggalkan balu atau duda atau anak, faedah orang tanggungan hendaklah dibayar kepada:

  • Ibubapa – 4/10 – seumur hidup
  • Adik beradik – 3/10 –  sehingga umur 21 tahun atau berkahwin
  • Datuk dan nenek –  4/10 – seumur hidup

Manfaat Pengurusan Mayat

Amaun sebanyak RM1500 akan diberikan sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat daripada bencana kerja atau semasa menerima faedah hilang upaya kekal berkala. Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris-waris yang layak. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu.

Jumlah bayaran akan dibayar sama ada jumlah sebenar perbelanjaan ataupun RM1500 mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

Cara Tuntutan

Untuk memohon dan seterusnya mendapat bayaran manfaat, isikan dengan lengkap dan kemukakan salinan dokumen-dokumen berikut yang disahkan ke PERKESO :

  • Borang permohonan (Borang 26)
  • Permit Pengebumian/Perakuan kematian
  • Dokumen sokongan yang membuktikan sebagai waris si mati*.

*Sila bawa bersama salinan asal untuk pengesahan PERKESO

Faedah Pendidikan

Ahli tanggungan pekerja yang mendapat manfaat bulanan daripada PERKESO juga boleh memohon untuk mendapat manfaat pendidikan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa. Untuk mengetahui syarat – syarat kelayakan, sila rujuk di laman web PERKESO.

Skim Pencen Ilat – Manfaat

Pencen Ilat

Pencen Ilat merupakan manfaat yang diberikan kepada pekerja yang mengalami keilatan (sebelum 55 tahun) dan menyebabkan pekerja itu tidak berupaya untuk meneruskan pekerjaannya.  Penyakit – penyakit kronik seperti sakit jantung, masalah buah pinggang, barah, sakit jiwa, dan asma merupakan penyebab keilatan yang boleh dipertimbangkan. Pencen ilat ini dibayar selama pekerja mengalami keilatan atau hingga meninggal dunia.

Syarat kelayakan pemohon termasuk belum mencapai umur 55 tahun pada masa notis ilatnya diterima (bukti harus diserahkan kepada PERKESO).

Syarat Kelayakan
  • Disahkan ilat oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan
  • Telah memenuhi mana-mana syarat kelayakan caruman yang telah ditetapkan sama ada kelayakan caruman penuh atau kelayakan caruman yang dikurangkan
  • Telah membuat caruman yang cukup untuk mendapat kelayakan caruman penuh atau kelayakan caruma yang dikurangkan :

 Kelayakan Caruman Penuh

Caruman bulanannya telah dibayar sekurang-kurangnya 24 bulan dalam tempoh 40 bulan berturut-turut sebelum bulan notis ilatnya diterima oleh PERKESO; atau caruman bulanannya telah dibayar tidak kurang daripada 2/3 bulan-bulan genap yang terkandung dalam tempoh antara tarikh mula memasuki Skim Pencen Ilat dengan tarikh notis ilat diterima oleh PERKESO.

Pekerja yang layak menerima pencen penuh akan mendapat 50% ke 65% daripada purata gaji anggapan bulanan.

Kelayakan Caruman Yang Dikurangkan

Caruman bulanannya telah dibayar tidak kurang daripada 1/3 bulan-bulan genap yang terkandung dalam tempoh antara tarikh mula memasuki Skim Pencen Ilat dengan tarikh notis ilat diterima oleh PERKESO; Jumlah bilangan caruman bulanan yang telah dibayar dalam tempoh tersebut mestilah sekurang-kurangnya 24 bulan. Pekerja layak menerima pencen dengan kadar yang dikurangkan iaitu 50% daripada purata gaji anggapan bulanan; dan Pencen minima adalah RM475 sebulan (berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012).

Elaun Layanan Sentiasa

Orang Berinsurans yang telah disahkan menghidap keilatan dan memerlukan penjagaan orang lain layak menerima Elaun Layanan Sentiasa (ELS) seperti yang disyorkan oleh Jemaah Doktor. Kadar elaun ialah 40% daripada kadar faedah pencen ilat dan tertakluk kepada bayaran maksimum sebanyak RM500 sebulan dibayar kepada Orang Berinsurans.

Cara Tuntutan

Untuk memohon, Orang Berinsurans hendaklah mengisi dan melengkapkan borang dan maklumat berikut:-

• Borang PKS (F) 41 (Notis Ilat);
• Laporan Perubatan (Lampiran 1– Format yang disediakan oleh PERKESO); dan
• Salinan Kad Pengenalan

Bantuan Ilat

Disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan, tetapi tidak layak menerima Pencen Ilat kerana tidak memenuhi mana-mana syarat kelayakan caruman; Telah membuat caruman sekurang-kurangnya 12 bulan; Amaun bantuan adalah sama banyak dengan jumlah caruman yang telah dibayar oleh pekerja untuk Skim Pencen Ilat termasuk faedahnya; dan Bayaran pukal sekali sahaja.

Faedah Pencen Penakat

Pencen ini dibayar kepada orang-orang tanggungan pekerja yang mati akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan dalam mana-mana keadaan berikut:-

• Semasa seorang pekerja menerima Pencen Ilat tidak kira berapa pun umurnya; atau
• Sebelum mencapai 55 tahun tetapi telah memenuhi syarat kelayakan caruman penuh atau syarat kelayakan caruman yang dikurangkan.

Pembahagian Faedah
  • Balu atau Duda – 3/5 Bahagi atas kadar harian penuh - Terima faedah seumur hidup meskipun balu atau duda berkahwin semula mulai atau selepas 1 Mei 2005
  • Anak (sehingga umur 21 tahun atau berkahwin ) – 2/5 – emua anak yang memenuhi syarat layak mendapat faedah termasuk anak kandung,anak tiri yang disara,anak angkat atau anak luar nikah

Jika tidak meninggalkan balu atau duda atau anak, faedah pencen penakat hendaklah dibayar kepada :

  • Ibubapa – 4/10-seumur hidup
  • Adik-beradik – 3/10 –  sehingga umur 21 tahun atau berkahwin
  • Datuk nenek – 4/10- Terima faedah seumur hidup

Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Pemulihan, dan Faedah Pemilihan untuk Skim Ilat mempunyai kelayakan dan ciri-ciri yang sama seperti Skim Bencana Pekerjaan!\

 

 

Comments

Tagged , ,

Tell your friends!

DARTH SAVER PERLUKAN MAKANAN
+1 kami di Google+